Demi Masa
Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian
kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan
nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran serta
nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

May 29, 2012

Dakwah melalui Bola Sepak???





Bola sepak merupakan satu sukan dan permainan yang cukup sinonim dengan orang lelaki. Sejak dari kecil lagi, kanak-kanak lelaki sudah didedahkan dengan permainan ini. Bahkan permainan ini menarik minat jutaan penonton dari seluruh ceruk rantau dunia apabila satu kejohanan bola sepak antara negara-negara diadakan setiap empat tahun sekali. Kejohanan yang diberi nama World Cup ini turut menarik kita sebagai umat Islam untuk bersengkang mata semata-mata ingin menonton pasukan yang diminati di kaca televisyen.





Namun, di sebalik kegilaan itu, kebanyakan kita gagal memahami dan mengambil makna-makna yang terdapat dalam sukan bola sepak ini. Sebenarnya banyak nilai yang boleh kita ambil melalui sukan ini untuk kita aplikasikan dalam lapangan dakwah kita.


Antaranya, bola mengajar untuk kita bekerja dan bergerak secara berpasukan. Mustahil bagi mana-mana pasukan bola mampu untuk bersaing dan berjaya sekiranya pemain-pemain mereka bermain secara individu. Kalaupun mungkin terdapat pemain yang cukup hebat dan berbakat seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan lain-lain, tetapi badan dan stamina mereka pasti dan sekali-kali tidak mampu untuk membawa dan menggelecek bola berseorangan di tengah-tengah padang selama 90 minit. Oleh itu, mahu atau tidak semua pemain yang ada mestilah mempunyai peranan dan mengambil posisi masing-masing.




Begitulah juga dengan dakwah. Mustahil bagi kita umat Islam untuk membuat kerja-kerja dakwah secara berseorangan. Kudrat dan upaya kita tidak cukup dan terhad untuk melakukan semua kerja membaiki dan membentuk semula umat ini kerana kerja ini satu tugas yang panjang, bahkan lebih lama daripada perlawanan bola sepak itu sendiri. Oleh sebab itulah dalam surah al-Fatihah yang sering diulang-ulang setiap kali dalam solat, Allah telah mengajar umat Islam supaya hidup dalam satu kelompok dan komuniti yang besar yang menyeru dan mengajak masyarakat ke arah cahaya dan petunjuk Islam.


إهدِنَا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ

Tunjukilah kami jalan yang lurus


(Al-Fatihah: 6)


Selain itu, bola juga mengajar kita untuk mengatur strategi dan matlamat yang ingin dicapai. Matlamat yang ingin dicapai oleh mana-mana pasukan bola sepak tentulah ingin menjaringkan gol sebanyak mungkin untuk menang dalam perlawanan tersebut. Maka pengurus dan jurulatih pasukan terlebih dahulu perlu mengatur strategi yang ingin digunakan dalam perlawanan, melihat kelebihan dan kelemahan yang ada pada pasukannya dan pasukan lawan, kemudian menyusun atur setiap pemain pada posisi yang paling sesuai untuknya.


Begitulah juga dengan dakwah. Matlamat kita adalah untuk menegakkan kembali semula khilafah Islam yang telah jatuh pada satu ketika dahulu. Sementara lawan kita pula ialah Amerika, Zionis dan sekutu-sekutunya yang mana telah menyerang kita dari pelbagai sudut; politik, ekonomi, pendidikan, budaya dan sebagainya. Maka, kita sebagai umat Islam perlu mengenal pasti, menyusun dan mengatur strategi dan agenda kita untuk mempertahan dan melawan semula serangan-serangan yang telah dilakukan ke atas kita.


Jika kita menyoroti perjalanan sirah baginda Nabi SAW, kita akan mendapati baginda SAW telah meletakkan sahabat-sahabatnya pada tempat yang paling sesuai dan terbaik untuk mereka. Hasan bin Thabit RA umpamanya, oleh kerana beliau mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam bersyair, beliau telah ditugaskan menjadi penyair bagi umat Islam untuk membalas syair-syair kafir Musyrikin yang telah menghina Nabi SAW dan umat Islam.





Seterusnya, bola juga mengajar kita erti dan kepentingan mempunyai fizikal yang kuat dan sihat. Pemain bola yang hebat dalam permainan tetapi mempunyai masalah kecederaan yang berpanjangan, tetap tidak akan dapat beraksi dengan baik dan konsisten untuk pasukannya.


Begitu juga dengan dakwah. Jika kita tidak mempunyai tubuh badan yang kuat dan sihat, kita tidak akan mampu untuk turun ke lapangan untuk mendidik dan membentuk masyarakat walaupun kita mempunyai banyak idea dan buah fikiran yang bernas untuk dilaksanakan dalam lapangan dakwah.


Oleh sebab itulah, Rasulullah SAW pernah bersabda:


المؤمن القوي خير وأحب الى الله من المؤمن الضعيف

“Seorang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada seorang mukmin yang lemah”


(Hadis Riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...