Demi Masa
Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian
kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan
nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran serta
nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

Apr 15, 2012

REVOLUSI FACEBOOK sebagai MEDIUM DAKWAH

Era ini Allah Taala menghantar teknologi kepada kita. Antaranya ialah jaringan sosial yang terkenal iaitu Facebook. Ia juga sebahagian dari karamah perjuangan.

Pengguna Facebook di Malaysia kini mencecah hampir 12 juta orang, dengan kadar penembusan 69.91 peratus pengguna internet. Laman socialbakers.com melaporkan, Malaysia kini berada di tangga ke-17 pengguna Facebook paling ramai di dunia. 53 peratus adalah pengguna lelaki dan 47 peratus pula wanita. Rata-rata dari kalangan mereka ialah anak muda.

Terdapat penambahan 200 ribu account baru setiap hari. Lebih dari 25 juta pengguna dari seluruh dunia yang aktif menggunakan Facebook setiap hari. Rata-rata pengguna menghabiskan waktu sekitar 19 minit setiap hari untuk melakukan pelbagai aktiviti di Facebook. Realiti ini meluaskan lagi potensi ziarah dan dakwah di talian cyber.

Memanfaat kekuatan medium facebook yang mempunyai jumlah pengguna berdaftar lebih 200 juta di seluruh dunia inilah, gerakan perubahan dan pengislahan meletus sebagai satu gelombang besar yang melanda negara Arab dan akhirnya menjatuhkan regim Ali Zainal Abidin di Tunisia, Husni Mubarak di Mesir, Muammar Ghadaffi di Libya. Kini Facebook mencetus fenomena serupa di Syria yang menyemarakkan kebangkitan rakyat tertindas sejak puluhan tahun yang lalu.

Rangkaian sosial yang popular seperti Facebook ini telah mengatasi populariti rangkaian My Space. Saya melihatnya dari aspek positif tanpa menafikan sebahagian manusia gagal memanfaatkan facebook untuk kebaikan. Samaada mereka buta teknologi atau kerana mereka mengurus teknologi dengan nafsu dan syahwat bukan wahyu dan aqal.

Facebook boleh menjadi medium perjuangan yang baru selepas medium ceramah sekian lama menjadi aktiviti tradisi kita menyampaikan maklumat. Justeru itu, saya menegaskan bahawa menjadi satu ke"wajib"an bagi setiap anggota parti samaada pimpinan atau ahli biasa untuk memiliki sekurang-kurangnya satu akaun facebook yang aktif.

Setiap anggota parti mesti celik facebook atau twitter dan sebagainya, justeru kita hidup di zaman teknologi maklumat. Bukan sahaja kita tidak boleh memusuhinya malah kita mesti menangani dan menguasainya. Langkah bijak ialah seorang ahli satu facebook yang aktif.

Buka dan miliki akaun facebook, kemudian aktifkannya dengan ilmu yang benar dan maklumat yang tepat. Jauhkan fitnah dan maki hamun, sebaliknya tampilkan fakta dan figur serta perbahasan yang mudah dan jelas. Kuasai bahasa anak muda kemudian bimbing mereka dengan ilmu dan maklumat yang betul berpandukan petunjuk Rabbul Izzati.

Saya jangkakan revolusi facebook bakal tercetus mendepani pilihanraya umum akan datang dan anak muda adalah penggerak serta pemangkin kepada revolusi tersebut. Menyedari perkembangan penting ini, saya meletakkan para alim ulama' , cendikiawan dan intelektual di senarai paling atas yang "wajib" menjadi aktivis facebook sebagai facebookers yang istiqamah dan berhikmah. Pimpin dan bimbing anak muda menuju cita-cita perubahan agar gelombang perubahan ini terarah dan tidak melewati batas akhlak pula gelincir dari sempadan moral.

Sebagaimana cabaran dan rintangan (tribulasi) yang kita hadapi sewaktu mengurus perjuangan di dunia ini, maka begitulah mehnah (ragam) dan ibtila' (ujian) serupa yang terpaksa kita depani di arena Facebook. Jika dipentas perjuangan ini kita berdepan dengan pemuda tahan lasak, samseng politik, FRU, SB dan lainnya, maka tidak kurangnya di arena Facebook kita berdepan cybertrooper, penyamar 1001 wajah, pengganas moral, pengacau, hackers dan lainnya.

Mulakan dengan bismillah, sertai medium baru ini dan sabar depani segala karenah serta tabah menyerap segala cabarannya.
Nasrudin bin Hassan at Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...