بسم الله الرحمن الرحيم
Cuba kita bayangkan, adik perempuan atau kakak kita, dirogol
dihadapan mata kita. Apakah perasaan kita disaat itu? Cuba bayangkan,
seandainya, ayah dan ibu kita disepak terajang dihadapan kita. Apakah kita
tegar untuk kita melihat mereka dilakukan sedemikian rupa?
Inilah fenomena yang berlaku hampir setiap hari di Syria.
Tangisan, raungan, kesedihan, kesakitan, keperitan dan seumpamanya terus
menerus berlaku tanpa henti. Ayah kehilangan anak, isteri kehilangan suami,
adik kehilangan abang. Namun jihad harus diteruskan oleh mereka. Namun,
dimanakah peranan kita, sebagai umat islam? Kita berbangga dengan bilangan umat
islam yang dikatakan setiap hari semakin bertambah. Kita berbangga apabila
dikatakan, umat islam mempunyai bilangan kedua terbanyak. Namun, dimanakah
kesatuan? Dimanakah keberanian? Dimanakah kekuatan? Dimanakah bantuan yang
harus kita salurkan pada mereka yang memerlukan? Isu palestin belum pun
selesai, diekori pula dengan isu Syria. Dimana peranan kita?
Adakah dengan menunjukkan kadar peningkatan pembuangan bayi
membuktikan itu saluran bantuan kita kepada Syria? Adakah dengan menunjukkan
kadar kelahiran bayi tanpa nama si bapa atau lebih tepat anak luar nikah
membuktikan kita benar-benar bersedia untuk membantu Syria dan Palestin? Adakah
dengan meningkatnya jumlah Mat-Mat Rempit membuktikan kita mempunyai bala
tentera sehebat Sultan Al-Fatih?
Adakah dengan suasana politik yang penuh
dengan korupsi, politik wang, rasuah dan sewaktu dengannya membuktikan kerajaan
kita mampu membantu Syria dan Palestin? Renung-renungkanlah.
Benarlah kata-kata Nabi Muhammad sejak sekitar lebih 1400
tahun yang lalu lagi, mengenai penyakit yang sedang menimpa umat akhir zaman :
“ Setelah aku wafat, setelah lama
aku tinggalkan, umat islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan
menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain
makan bersama.”
Maka para sahabat r.a pun bertanya, “ Apakah ketika itu umat
islam telah lemah dan musuh sangat kuat ? ”
Sabda baginda S.A.W :
“ Bahkan masa itu mereka lebih ramai
tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah
ibarat buih di laut.”
Sahabat bertanya lagi, “ Mengapa seramai itu tetapi seperti
buih di laut ? ”
Jawab Rasulullah s.a.w :
“ Kerana ada dua penyakit, iaitu
mereka ditimpa penyakit al-wahn.”
Sahabat bertanya lagi, “ Apakah penyakit al-wahn ? ”
Rasulullah S.A.W bersabda :
“ Cintakan dunia dan takut akan
kematian.”
Fakta menunjukkan, di Syria rakyatnya terdiri daripada 6 %
darinya merupakan Syiah Alawie, 10 % darinya beragama kristian manakala 84 %
daripada rakyatnya beragama Muslim Sunni. Peratusan ini cukup mengejutkan saya,
kerana kalau ikut logik akal yang terhad pada diri saya yang lemah ini, amat
pelik sekiranya jumlah umat islam yang sebegitu ramai ditindas oleh golongan
syiah yang jauh terpesong dari islam itu. Dimanakah silapnya? Dimanakah
puncanya? Maka, fakta ini secara automatiknya membenarkan malah menguatkan lagi
hadis baginda Nabi Muhammad seperti di atas. Dikatakan, selepas Syria merdeka
dari penjajahan Perancis pada tahun 1945, pihak kerajaan Perancis sudah pun
merancang untuk menghancurkan islam melalui rancangan kesan jangka masa panjang
iaitu dengan membentuk satu kerajaan baru Syria yang dipimpin oleh Golongan
Syiah, yang merupakan kumpulan minoriti di Syria pada saat itu. Ternyata,
rancangan keji dan jahat Perancis itu berjaya sama sekali.
Pada tahun 1982, berlaku satu peristiwa berdarah yang
menyebabkan rakyat Syria khususnya Muslim Sunni berada dalam ketakutan.
Peristiwa yang berlangsung selama 27 hari, telah mengorbankan hampir 46000
penduduk di Hama dek kerana kekejaman Hafez Al-Assad bapa kepada Bashar Al-Assad,
syaitan yang bertopengkan manusia. Namun, kekejaman keluarga Assad itu tidak
menemui titik nokhtah, apabila Bashar Al-Assad menjejaki kejahatan dan
kekejaman bapanya itu.
Sahabat seakidah sekalian,
Apakah kita benar-benar mengenali atau memahami konsep
syukur seadanya ? Kita sepatutnya bersyukur kerana Allah masih memberikan
peluang kepada kita untuk merasai nikmat keamanan. Namun, apakah kita
benar-benar membalas kenikmatan Allah itu dengan sewajarnya? Allah sekadar
meminta kita melakukan apa yang diperintahkan-Nya, menjauhi perkara yang
dilarang-Nya dan sabar dengan musibah yang diturunkan kepada kita. Namun, kita
alpa. Kita tidak bersyukur dengan nikmat Allah. Nikmat kedamaian disalah erti
dan disalah gunakan oleh kita. Segala jenis maksiat terus menerus berlaku
dengan bermaharaja lela di tanah air kita dan juga diri kita sendiri.
Senarailah sebanyak mana maksiat, pasti semuanya ada di dalam diri kita mahupun
di tanah air kita. Cuba kita renungkan apa yang terjadi di Syria pada masa kini
:
1. Muslim dipaksa mengucapkan “Tiada Tuhan Melainkan Bashar
Asad.” (semoga kau dilaknati ALLAH, Bashar Assad !!! Sungguh aku lebih rela
mati daripada mengucapkan kalimah kufur itu.Aku hanya mendambakan kalimat
tauhid yang mengagungkan Tuhan aku, ALLAH S.W.T )
Bersyukurlah kerana kita masih berpeluang mengucapkan
kalimah tauhid, Laa Ilah Ha’illAllah tanpa sebarang kesulitan tanpa dibayar
dengan tembakan sebutir peluru pun ke arah kepala kita. Namun mengapakah kita
masih memilih untuk mencarut kepada rakan-rakan kita mahupun sewaktu dalam
kehidupan seharian kita?
2. Wanita-wanita diculik dan dibawa ke tempat yang tidak
diketahui. Wanita ini dirogol dihadapan abang-abang, ayah, anak-anak dan ahli
keluarga mereka. Sebelum dirogol, mereka digari terlebih dahulu.
Bersyukurlah wahai wanita sekalian kerana anda masih berada
di zon selamat. Namun mengapakah masih ada wanita sukar untuk memahami kosep
syukur apabila masih ada yang memakai pakaian yang menjolok mata umpama
meletakkan diri dalam kancah yang boleh merosakkan maruah anda? Tidak
kurangnya, mengapa masih ada wanita yang berani keluar pada waktu malam tanpa
musyrif? ( Promote JAKSI). Wanita muslimah sekalian, jagalah diri anda dan
bersyukurlah dengan keadaan yang masih boleh dikatakan selamat sebelum terlewat.
3. Ditembak apabila keluar dari masjid.
Bersyukurlah wahai diriku sendiri dan juga para sahabat
sekalian. Kita dijemput oleh Allah ke rumah-Nya 5 kali sehari tanpa penembak
tepat (sharp shooter) dengan bersenjatakan sniper yang setia menunggu untuk
menembak dahi kita. Namun, mengapa kita cukup sukar mengecewakan dan melawan
syaitan dari terus menyambung tidur di kala subuh hari?
Hati ini, terus bermonolog, apakah yang mampu aku lakukan
untuk menyelamatkan saudara seagamaku di Syria dan Palestin. Anda pula, apakah
yang anda mampu lakukan dan yang telah anda lakukan? Tengok movie? Tengok
Cerita Korea? Tengok Running Man? Tengok Glee? Makan,Tidur dan Study? Tepuk
dada, tanya iman.
Memetik kata-kata Imam Hassan Al-Basri,
“ Sesungguhnya aku sedang menasihati
kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu. Bukan juga yang
paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk
diriku sendiri…..” wallahualam.
Oleh:
Khairul Anwar bin Razali
Tahun 3 Universiti Ain Shams