Demi Masa
Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian
kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan
nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran serta
nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

Apr 11, 2011

BERTUDUNG & UNGKAPAN HINA HUKUM

Diambil dari artikel Ustaz Zaharuddin

PANDANGAN PERTAMA

"Tak pe ustaz kan, pandangan pertama tak berdosakan, cuma kami pandang lama je la ?" tanya seorang pemuda berumur 35 tahun kepada saya sambil tersenyum-senyum selepas dia merenung wanita berskirt di hadapannya.

Ia adalah satu perkara yang amat menyedihkan, ia sebenarnya hasil dari sikap sebahagian umat Islam hari ini mengambil ringan tentang hukum Islam.

Berkenaan larangan melihat kali kedua kepada aurat ini diriwayat dalam beberapa buah hadith, antaranya hadith : "Dari Jarir bin Abdullah, ia berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a. w. tentang melihat (aurat wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka jawab Nabi: Palingkanlah pandanganmu itu!" (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi) - Iaitu, Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua kalinya.

Demikian juga kata Baginda SAW kepada Ali KW :

لا تتبع النظرة النظرة , فإنما لك الأولى وليست لك الآخرة

Ertinya : "Jangan kamu ikuti satu pandangan dengan pandangan yang lain, kerana yang pertama bagimu ( diampunkan) dan tidak bagi yang kedua" ( Riwayat Ahmad, Abu Daud, Albani : Hasan)

Artis & Lawak Hukum

Lebih teruk lagi terdapat artis Malaysia yang sanggup menggunakan lafaz-lafaz Islam seperti ‘MashaAllah' dan ‘InshaAllah' serta ‘Allahu Akbar' dalam lakonan lawak mereka sambil sengaja disebut dalam bentuk yang melucukan. Ini amat jelas memperlawakkan lafaz mulia Islam, ia amat kerap dilakukan oleh satu kumpulan pelawak Malaysia yang terkenal. Moga mereka diberikan hidayah oleh Allah SWT.

Demikian juga dengan ucapan alhamdulillah bagi seorang artis yang berpakaian separuh bogel dikhalayak umum apabila berjaya meraih sesuatu anugerah di media. Atas nama seni dirasakan tindakannya halal. Pada hakikatnya jika lakonannya itu penuh dengan adegan ‘peluk sana sini' dan ‘dedah sana sini', maka di ketika itu ia bukanlah lagi sebuah seni mulia yang diiktiraf Islam. Ia adalah seni ‘fasad' yang berdosa dan tidak layak diraikan dengan ungkapan mulia Islam.

Ketika itu, kemenangan mereka di atas pentas dan melafazkan ucapan sedemikian adalah satu bentuk mempermainkan hukum dan lafaz Islam di tempat yang tidak sewajarnya. Seolah-olah seorang yang ingin merompak membaca 'Bismilah' ketika memulakan rompakannya dan mengucapkan ‘Alhamdulillah' apabila berjaya terlepas dari kejaran polis, atau menyebut ‘Alhamdulillah' di dalam tandas, atau seperti seorang peminum arak mengucapkan "alhamdulillah" apabila menyelesaikan minumannya.

Menurut kaedahnya, semua ini menambahkan lagi dosa si pelaku terbabit disebabkan wujud unsur penghinaan samada secara langsung atau tidak langsung kepada hukum serta lafaz mulia Islam. Walaupun mereka tidak langsung berniat untuk menghina lafaz mulia itu.

Apabila ia adalah sebuah hukum atau ucapan zikrullah, maka adalah tidak harus sama sekali sesiapa juga mempermainkan atau menyebutnya di tempat yang tidak sewajarnya. Nabi SAW bersabda :-

ان العبد ليتكلم بالكلمة ما يتبين فيها يزلّ بها إلى النار أبعد مما بين المشرق والمغرب

Ertinya : " Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka sejauh antara timur dan barat" ( Riwayat Al-Bukhari dengan Fathul Bari, Bab Hifdz Lisan, 11/376 , no 6477)

Imam Ibn Hajar Al-Asqolani menegaskan bahawa erti hadith ini adalah seorang yang bercakap tanpa jelas maksud ayatnya sehingga menjadikan ia boleh membawa maksud yang pelbagai sehingga sebahagiannya boleh mencarikkan sesuatu hukum. (Fath Al-Bari, 11/376)

Hina Islam, Bertudung & Bermaksiat Lebih Besar Dosa

"Amat memalukan la ustaz, saya baru jumpa satu video yang tunjukkan pasangan melayu ditangkap di tasik-tasik dan tempat awam tengah bercumbuan, apa pandangan ustaz, hampir 95 % darinya bertudung jenis tak sempurna tu ustaz, ustaz tau tak?" tanya seorang pendengar kuliah saya sejurus selepas kuliah saya berkenaan aurat.

Kemudian selang beberapa hari, pemuda ini menghantar email kepada saya beserta satu petikan video yang dimaksudkan. La Hawla Wala Quwwata Illa Billah..wa Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun..memang amat mendukacitakan.

Pemuda itu juga menulis seperti 'kepeningan' dan 'kebingungan' dengan persekitaran ini dengan katanya

"Boleh tak agaknya saya buat kesimpulan bahawa hampir semua wanita yang bertudung pendek atau fesyen, dengan kain belah atau baju sempit atau baju kurung biasa, semua ni jenis yang 'murah' dan boleh diajak seks bebas dengan mudah hari ni, apa pandangan ustaz?" Mengurut dada saya mendengar kesimpulan pemuda berpakaian kemas dan bekerjaya profesional ini. Sudah tentu amat marah para wanita dengan kesimpulan si pemuda ini.

"Saya hanya masih percaya dengan wanita yang berjubah dan bertudung labuh sahaja sekarang ini ustaz, harapnya mereka dapat pertahan maruah dan kesucian mereka serta tak jadi macam si pemakai tudung pendek yang terbukti tiada banyak beza dengan free hair" katanya lagi dengan tegas.

Selepas pemuda ini mengutarakan pendiriannya barulah saya memberikan penjelasan panjang lebar. Bagaimanapun saya belum berhasrat menyebutnya di ruangan ini, cukuplah saya dedahkan betapa kecewanya pemuda profesional ini dengan apa yang berlaku di hadapan matanya.

Kesimpulannya, wahai wanita bertudung kembalikan maruah anda dengan tutupan aurat yang sebenarnya, akhlak wanita Islam yang sebenarnya, janganlah merosakkan imej Islam itu dengan maksiat yang amat dimurkai Allah SWT. Sesungguhnya kenikmatan duniawi amat amat sementara, carilah kenikmatan akhirat yang kekal abadi.

Dari sudut hukum pula, hal wanita bertudung yang melakukan maksiat, dosanya sudah tentu lebih hebat dari wanita yang tidak bertudung yang melakukan maksiat. Hal ini boleh difahami dari ayat seperti :-

يَا نِسَاء النَّبِيِّ مَن يَأْتِ مِنكُنَّ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ يُضَاعَفْ لَهَا الْعَذَابُ ضِعْفَيْنِ وَكَانَ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرًا

Ertinya : Hai isteri-isteri Nabi, siapa-siapa di antaramu yang mengerjakan perbuatan keji yang nyata, niscaya akan dilipat gandakan siksaan kepada mereka dua kali lipat. Dan adalah yang demikian itu mudah bagi Allah ( Al-Ahzab : 30)

Memang benar ayat ini ditujukan khas buat isteri-isteri Nabi SAW disebabkan kemulian dan kedudukan mereka yang sangat mulia, bagaimanapun ayat ini sebenarnya menggariskan bahawa setiap kali bergandanya kemuliaan, maka bergandalah dosanya (jika melakukan maksiat), demikian hukuman ke atas wanita bebas lebih berat dari wanita hamba sahaya di zaman silam. Dikatakan sebabnya adalah kerana bertambahnya mudarat dan penghinaan kepada Nabi SAW (Al-Jami' Li Ahkam AL-Quran ; AL-Qurtubi, 14/ 114 dengan sedikit pindaan )

Demikian jualah bagi wanita bertudung yang telah menaik tarafkan kedudukannya dengan kemuliaan Islam, tetapi kemudiannya melakukan maksiat. Maka jika bersandarkan kaedah di atas, jelaslah dosa mereka bertambah besar kerana maksiat itu sendiri dan merosakkan imej Islam secara jelas. Bertawbatlah. Demikian juga halnya maksiat (termasuk pelaburan internet yang disepakati haram secara sepakat ulama dunia dan Malaysia) yang dilakukan oleh seorang ustaz yang jauh lebih besar dosanya dari dosa oleh lelaki biasa di sebabkan imej dan kedudukan yang dibawanya.

Sekian,

Ust Zaharuddin Abd Rahman

Gadis Hampir Terlanjur Minta Nasihat

Diambil dari artikel Ustaz Zaharuddin

Menjawab persoalan- persoalan yang dikemukakan.

Selamat Membaca..

:)




Gadis Hampir Terlanjur Minta Nasihat

tawbat dan Doa

Assalamualaikum ustaz....

Ustaz saya seorang yang belum berkahwin.tetapi saya telah melakukan dosa yang besar, iaitu melakukan perkara yang menghampiri zina (tidak sampai memasukkan alat kemaluan), tapi ia tetap zinakan?

Saya tau ianya berdosa tetapi saya terlalu lemah untuk mengawal nafsu saya, setiap kali selepas melakukannya saya insaf dan melakukan solat taubat kerana saya takut akan hukuman Allah swt terhadap insan-insan seperti saya yang melakukan perkara yang dimurkai olehNYA.

Pada bulan Ramadhan baru-baru ini, pada siang hari kami telah melakukan perkara terkutuk itu lagi, Walaupun tau ianya berdosa tapi kami tak mampu untuk mengawalnya.

Justeru, saya nak tau adakah saya perlu mengganti pose same seperti lelaki iaitu 60 hari dan bagaimana dengan teman lelaki saye itu, dia memang wajib kaffarah kan ustaz?

Di sini juga,saya nk mohon sangat agar ustaz dapat memberikan tip atau surah-surah untuk mengelakkan godaan syaitan?

Sesungguhnya saya amat takut akan hukuman Allah swt terhadap insan seperti saya ini. Untuk pengtahuan ustaz, teman lelaki memamg ade ajak nikah bagi kami mengelakkan melakukan perkara itu lagi tapi family saya mcm tak merestuinye kerana tak setaraf. Saya lulusan universiti tapi teman lelaki hanya biase jer, saya benar-benar perlu pandangan ustaz...

Saya sentiase keliru, risau dan takut akan dosa-dosa yang telah saya lakukan. Walaupun saya boleh dikatakan jarang meninggalkan solat tapi saya masih lemah untuk mengawal nafsu. Saya takut sangat staz, tolonglah saya nie. Saya betul-betul takut sangat bile memikirkannya........asslamualaikum

-gadis keliru, takut- ( melalui ruangan komentar)

JAWAPAN UZAR

Pertamanya saya memohon maaf kerana saya bukanlah seorang kaunselor yang mahir memberikan penyelesaian dalam kes-kes sebegini.

Walaupun demikian saya akan cuba mengulasnya serba ringkas dri persepktif Islam. Sebelum itu, terdapat beberapa jenis soalan dalam tulisan saudari. Jawapannya seperti berikut :-

1) Berkenaan dengan perbutaan ‘permulaan zina' tetapi tidak sampai berzina yang saudari lakukan bersama teman lelaki di siang hari Ramadhan.

Hukum : Kedua-dua tidak dikenakan kaffarah kerana tiada persetubuhan berlaku. Tatkala itu, puasa kedua-dua anda adalah batal jika air mani terkeluar. Selain itu, pahala puasa pada hari tersebut juga tiada berdasarkan hadis Nabi s.a.w .

Jika tidak sampai mengeluarkan air mani, tetapi hanya air mazi sahaja, puasa tidak batal. Pahala puasa tetap tiada kerana ia berdasarkan hadis di atas juga.

2) Saudari mengatakan : "Saya sentiase keliru, risau dan takut akan dosa-dosa yang telah saya lakukan. Walaupun saya boleh dikatakan jarang meninggalkan solat tapi saya masih lemah untuk mengawal nafsu. Saya takut sangat ustaz, tolonglah saya nie"

Respond : Saya ucapkan syabas kerana saudari masih mempunyai iman dan punyai ilmu tentang haramnya tindakan itu, kerana itulah timbul perasaan takut, kesal dan takut. Sekiranya perasaan itu makin menghilang, ia tanda iman juga semakin meluntur dengan sangat teruknya.

Ia bertepatan dengan Hadith Nabi SAW :

من سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فذلك الْمُؤْمِنُ

Ertinya "Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati " (Riwayat At-Tirmizi, no 2165, 4/465 ; Tirmizi : Hasan Sohih ; Al-Haithami : perawinya sohih , rujuk Majma Az-Zawaid, 1/86 )

Antara tip dan tindakan pemulihan yang perlu dilakukan adalah seperti berikut :-

1) Bertawbat dengan sungguh-sungguh.

2) Tidak berjumpa teman lelaki atau ber'dating' berdua-duaan dengannya. Jika jumpa sekalipun, perlu diajak abang bersama. Jika tiada abang, hanya berjumpa di rumah saudari dengan kehadiran ibu bapa. Jika tidak mampu juga, maaf..anda tiada pilihan lain kecuali mesti mencari jalan untuk mampu melakukannya.

Jika tidak, saudari pasti akan berzina satu hari nanti. Selepas itu, segala pintu iman akan semakin tertutup rapat buat saudari, peluang menjadi celaka dan melahirkan zuriat yang celaka juga semakin membesar. Awas!

Dari kisah saudari membuktikan tahap bahayanya sudah sangat hampir kea rah kehancuran zina. Ini kerana saudari telah mampu melakukan permulaan zina tatkala berpuasa. Ini menunjukkan virusnya semakin dahsyat dan mampu membunuh iman.

Syahwat seksual dan zina adalah sama seperti dadah dan kegilaan harta material, ia boleh membawa seseorang menjadi mabuk dan lupa segala-galanya. Sebagaimana hadis yang telah saya bawakan dahulu iaitu :-

لو كان لابن آدَمَ وَادِيَانِ من مَالٍ لَابْتَغَى ثَالِثًا ولا يَمْلَأُ جَوْفَ بن آدَمَ إلا التُّرَابُ

Ertinya : Sekiranya anak Adam itu punyai dua lembah dipenuhi emas, nescaya sudah tentu mereka akan inginkan yang ketiga, dan tidak disumbatkan ke dalam perutnya kecuali tanah (mati)( Riwayat al-Bukhari , 5/2364 )

Demikian juga perihalnya dengan nafsu syahwat seksual. Ia merupakan satu penyakit dalaman yang serius serta amat sukar dirawati.

3) Mencari rakan wanita yang solehah di sekitar saudari. Ini adalah satu tindakan yang baik, kerana dalam keadaan demikian, saudari memerlukan kaunseling berterusan dan kerap. Ia tidak akan diperolehi jika saudari berkawan dengan rakan yang seperti tingkah laku saudari sekarang.

Ia adalah saranan Nabi s.a.w :-

‏إنما مثل الجليس الصالح والجليس السوء كحامل المسك ونافخ الكير فحامل المسك إما أن ‏ ‏يحذيك ‏ ‏وإما أن ‏ ‏تبتاع ‏ ‏منه وإما أن تجد منه ريحا طيبة ونافخ الكير إما أن يحرق ثيابك وإما أن تجد ريحا خبيثة

Ertinya : Sesungguhnya perumpaan rakan yang baik dan yang jahat itu, ibarat rakan pembawa minyak wangian dan penipu api di dapur arang; adapaun rakan seperti pembawa wangian, ia (mmembawa kesan kebaikan) iaitu samada ia akan menghadiahkanmu wangian, atau kamu membeli darinya ataupun kamu akan dapat bauan wanginya juga. Adapun rakan seperti peniup api dapur , samda ia akan membkar bajumu atau akan mendapati bauannya (peluh) yang tidak enak" ( Riwayat Muslim, no 4762 )

Hasilnya, wajiblah mencari rakan yang baik. Termasuk mencari teman lelaki yang baik.

4) Berkenaan ayat dan surah tertentu. Dalam Islam, sekadar mengalakan ayat tertentu tanpa menghayati ertinya, tidak banyak membawa kesan dan perubahan ke arah yang lebih baik. Baca dan fahamilah ayat berkenaan dosa zina banyak-banyak, moga ia dapat menghindarkan diri darinya.

ayatnya :-

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِئَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ

Ertinya : "Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali dera, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman" ( Surah An-Nur : 2)

5) Memperbaiki solat, saudari mengatakan saudari solat tetapi masih gagal mengawal nafsu, Ini bererti solat saudari perlu diperbaiki kerana solat merupakan antibodi terkuat dalam Islam untuk mengawal nafsu.

Berkenaan kesukaran keluarga saudari merestui teman lelaki anda, ia mungkin hanya sekadar sangkaan awal saudari sahaja. Yang penting usahakan majlis merisik secara serius dengan segera. Kesungguhan teman lelaki saudari mungkin boleh mengubah pendirian keluarga yang sukar menerimanya.

Jika gagal, mintalah bantuan sesiapa yang dihormati oleh keluarga saudari untuk berbincang dengan keluarga agar mereka tidak lagi mementingkan kelulusan dan darjat sebegitu.


Sekian

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...