Demi Masa
Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian
kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan
nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran serta
nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

Apr 9, 2011

Allah Bukan Tidak Menjawab Kamu..







Artikel Terbaru dari Hilal Asyraf..

Selamat Membaca ! :)





Ada manusia, rasa ditinggalkan Allah SWT.

Dia merasakan, Allah telah berpaling daripadanya. Hidupnya sentiasa sukar, dan kesenangannya tidak pernah lama. Derita, derita dan derita sahaja yang diterimanya. Bila dia merasakan dia baru sahaja bahagia, akan datang pula satu lagi cabaran yang menggegarkan kehidupannya.

Akhirnya dia kelelahan. Kekuatannya kontang. Lantas dia merosot jatuh, terlutut dengan tangisan. Rasa tidak berguna lagi kehidupan. Rasa lebih baik dirinya dijemput kematian segera. Kerana dia kini benar-benar rasa tidak berkemampuan. Derita yang sangat derita, dan kini dia tidak lagi mampu bertahan.

Tetapi, benarkah Allah meninggalkan?

Kebersihan iman

Keimanan adalah keyakinan. Sekiranya iman kita bersih, maka kita akan kekal yakin kepada Allah SWT. Sebab itu kita mampu mengikuti syariatNya, perintahNya, walaupun kadangkala macam sedikit sukar dan membebankan.

Orang Nasrani sekadar ke gereja seminggu sekali, kita perlu solat lima kali sehari. Agama lain kalau puasa sekejap sahaja, kita pula perlu menjalani ibadah puasa 30 hari lamanya. Perempuan lain pakai apa yang mereka suka, Islam ketat mengarahkan wanitanya menutup aurat dan hanya boleh mendedahkan muka dan kedua telapak tangan sahaja.

Keimanan, adalah apa yang memampukan kita melakukan semua itu. Kalau diikutkan kewarasan akal biasa, mungkin kita awal-awal lagi sudah mencerca Allah SWT kerana mengarahkan perkara-perkara yang sedemikian. Tetapi keimanan adalah apa yang meningkatkan kewarasan akal kita dari biasa, kepada luar biasa. Hingga kita faham bahawa, Allah tidak akan memberikan kita perkara yang sia-sia. Semua itu pasti ada hikmahnya. Itulah dia kewarasan kita. Bukan maddi(material) semata-mata.

Jadi, keimanan yang bersih akan membawa kepada kefahaman bahawa segala dugaan dan cabaran, halangan dan kesukaran, semuanya adalah pemberian Allah SWT. Dan msutahil Allah memberikannya sekadar untuk bermain-main dengan kita.

Ada tujuan.

Dan itu adalah bukti, ujian dan halangan, kesukaran dan cabaran, bukanlah petanda Allah meninggalkan kita. Bahkan, sebaliknya. Kita boleh melihat, itulah tanda Allah ‘sedang memandang’ kita.

Tujuan ujian

Kita kembali kepada Allah SWT, dalam tujuanNya menurunkan cabaran dan kesukaran.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” Surah Al-Ankabut ayat 2-3.

Nyata, tujuan ujian hakikatnya adalah ‘tapisan’. Dunia bukan pentas penerimaan hadiah di mana kita mendapat natijah. Tetapi dunia hakikatnya adalah pentas pertandingan, untuk menguji ‘peserta-peserta’ di dalamnya. Pentas penerimaan hadiah adalah di akhirat sana.

Dan ujian bukan semata-mata ‘tapisan’, tetapi ujian juga datang sebagai ‘pembalasan’ ataupun ‘pembersihan’ ataupun ‘peringatan’.

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” Surah Ar-Ruum ayat 41.

Jadi, ayat di atas jelas menunjukkan betapa kadangkala bala yang menimpa itu, hakikatnya adalah akibat daripada perbuatan kita. Ini termasuklah dosa-dosa yang kita lakukan. Ada sebahagian manusia itu, Allah hapuskan terus bila diturunkan bala ke atas mereka. Sebagai contoh, Kaum Nuh yang majoritinya tenggelam lemas dalam banjir besar. Tetapi wujud sebahagian yang lain, Allah hidupkan selepas menerima ujian, ataupun ujian itu diciptakan memang untuk tidak menghilangkan nyawanya, bertujuan memberikannya ‘tamparan peringatan’ akan keadaan dirinya.

Ujian juga, hakikatnya adalah satu bentuk ‘panggilan’ Allah SWT, agar hamba-hambaNya yang selama ini alpa, merapat kepadaNya. Lihatlah firman Allah SWT:

“Dan apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi.” Surah Luqman ayat 32.

Jelas bukan? Ujian daripada Allah itu, nyata bukan kosong. Tetapi ada tujuannya. Mustahil sia-sia.

Allah bukan tidak menjawab, tetapi Dia Maha Tahu bila hendak menjawab

Lama bertahan kadangkala membuatkan kita kecewa. Lebih menyakitkan hati, apabila kita cuba meluahkan penderitaan kita, orang lain hanya tahu menyatakan sabar sahaja. Sedangkan yang kita perlu adalah ‘tindakan’, bukan sekadar bicara-perkataan.

Tetapi apabila kita balik kepada hakikat ujian tadi, dan tujuannya, bukankah hati sudah sedikit tenang? Nyata di dalam ujian itu juga yang ada hanyalah kebaikan-kebaikan sahaja.

“Yalah, aku faham semua itu, tetapi aku manusia.”

Ya, saya faham. Saya juga manusia. Sebab itulah saya bermula dengan kebersihan iman, dan mengajak kita memahami hakikat ujian. Sebab saya sendiri pernah gugur dan jatuh. Bukan sekali dua, bahkan berkali-kali. Tersungkur, saat-saat merasakan diri ini ditinggalkan. Pernah hendak cuba menjerit ke langit dan memarahi Allah, pernah juga terfikir untuk merajuk dengan dunia dan menghentikan kehidupan. Saya pernah bersedih hingga ke tahap itu. Dan saya yakin, esok lusa akan ada lagi ujian-ujian yang lebih hebat dari yang pernah saya lalui, yang akan membuatkan saya terlutut semula.

Tetapi, ada kelainan apabila kita memahami apakah itu ujian? Mengapakah diturunkan ujian? Apakah tujuan ujian? Ada perbezaannya apabila kita memahaminya. Apatah lagi apabila kita punya keyakinan terhadap Tuan Punya Ujian.

Akhirnya, lama-kelamaan, saya melihat bahawa putus asa itu sebenarnya berlawanan dengan kewarasan akal. Akhirnya saya berjaya melihat bahawa, menjerit ke langit itu berlawanan dengan kewarasan akal. Begitu juga merajuk dengan dunia dan menghentikan kehidupan. Sebab sebenarnya, kita ada satu lagi pilihan. Itulah dia terus bertahan.

Allah bukan tidak menjawab segala doa, segala solat hajat, segala aduan, segala permintaan. Dia Maha Mendengar, dan tiada tempat pengaduan yang lebih baik daripada Dia. Tinggal, Dia itu juga bukan sekadar Maha Mendengar, bukan sekadar Maha Pemakbul Doa, tetapi Dia juga adalah Yang Maha Tahu Atas Segala-galanya. Dia Maha Tahu bilakah waktu yang sesuai untuk menjawab doa kita, untuk memakbulkan permintaan kita. Dia Maha Tahu kemampuan kita, sampai bilakah kita mampu bertahan. Dia Maha Tahu, apakah manfaatnya ujian yang Dia turunkan kepada kita.

Sebab itu, lihatlah firman-firmanNya berkenaan dengan ‘kelewatan’ pertolonganNya. Semua punya bonus.

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” Surah Al-Baqarah ayat 214.

Bagaimana agaknya, orang-orang yang teruji, sampai rasa tidak punya lagi harapan, dan pada saat itu sampailah pertolongan yang selama ini diharapkan? Bukankah kekuatannya akan lebih tertingkat? Bukankah dia akan menjadi yang lebih bersyukur? Bukankah keimanannya akan melonjak?

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri. Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.” Surah At-Taubah ayat 25-26.

Saat-saat sebahagian manusia telah berputus asa dan berundur, dan sebahagian lain pula kekal bertahan dalam keadaan kekalahan, bukankah apabila Allah turunkan pertolongan pada saat itu akan berlakunya peningkatan terhadap yang kekal percaya? Bukankah telah tertapis daripada golongan pejuang itu mereka yang benar-benar ikhlas memperjuangkan agama Allah?

Sebab itu, Allah Maha Tahu bilakah hendak menjawab doa-doa hambaNya.

Dia tahu waktu dan ketikanya.

Yang tinggal adalah kita. Apakah mahu kekal bertahan dan percaya? Atau mengalah, menjadi yang rugi selama-lamanya?

Penutup: Dan ada orang itu, kekal teruji hingga ke akhirnya.

Ada di dalam sejarah, manusia-manusia yang mati dalam keadaan tidak mencapai kemenangan perjuangannya. Seperti Nabi Yahya yang dipenggal kepalanya, seperti Nabi Zakaria yang dibelah tubuhnya, seperti tuk guru kepada remaja dalam cerita Ashabul Ukhdud yang di kerat dua dari kepalanya, seperti Khubaib ibn ‘Adi RA yang mati dilapah-lapah Abu Jahal jasadnya, seperti Mus’ab bin Umair RA yang mati kudung kedua belah tangannya, seperti Anas bin Nadhr RA yang mati dengan 80 tusukan pada jasadnya hingga wajahnya tidak dikenali sesiapa kecuali adiknya yang mampu mengenalinya dari cincin di jarinya, seperti Hamzah RA yang mati dimamah jantungnya, dan seperti ramai lagi manusia yang telah berlalu di zaman ini(Asy-Syahid Hassan Al-Banna, Asy-Syahid Syed Qutb) dan juga zaman terdahulu yang mati sebelum menikmati kesenangan hidup.

Apakah Allah tidak menjawab doa mereka?

Tidak. Allah menjawab doa mereka. Dengan syurgaNya.

“Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar. Surah As-Saff ayat 11-12.

Mereka adalah bukti-bukti, buat mereka yang kini teruji dan hampir hilang percaya.

Jadi bagaimanakah kita?

Apakah benar Allah meninggalkan kita?

Hakikatnya, Allah itu tidak pernah meninggalkan hamba-hambaNya.

Tetapi hamba-hambaNyalah yang sering meninggalkan Dia.

Kita ini ingin tergolong dari kalangan mana?

Yang percaya? Atau yang meninggalkanNya?

Apr 6, 2011

Wanita Solehah



Terdetik untuk menulis mengenai wanita solehah selepas mendengar kata-kata peringatan dari seseorang yang amat dikasihi.Moga Allah memberkati kehidupannya bersama keluarganya.. Inshaallah.. Semoga Allah membantuku menjadi wanita solehah.. Amin..





Diambil dari sabda-sabda Rasulullah S.A.W


1. Wanita solehah adalah lebih baik dari seribu lelaki yang tidak soleh.

2. Wanita apabila melaksanakan solat lima waktu, puasa sebulan Ramadan,
memelihara kehormatan diri serta taatkan suaminya, berpeluanglah ia memasuki
mana-mana pintu syurga yang dikehendakinya.

3. Saidatina Aisyah r.a. berkata: "Saya pernah bertanyakan Rasulullah S.A.W
tentang siapakah manusia yang terlebih berhak terhadap wanita?" Jawab
Rasulullah S.A.W: "Suaminya". Bertanya pula Aisyah: "Siapa pula terlebih berhak
terhadap lelaki?". Jawab Rasulullah S.A.W: "Ibunya".

4. Apabila kamu dipanggil oleh kedua ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu
terlebih dahulu.

5. Sesiapa yang dikurniakan Allah wanita yang solehah, sesungguhnya ia telah
dikurniakan separuh dari agamanya, maka yang separuh lagi hendaklah ia berbakti
(bertakwa) kepada Allah.

6. Sebaik-baik wanita ialah yang tinggal di rumah, tidak keluar kecuali atas
urusan mustahak. Wanita apabila keluar akan dipersonakan (digoda) oleh iblis.

7. Haram bagi wanita melihat lelaki sebagaimana lelaki haram melihat wanita
(bukan muhrim) kecuali dalam menuntut ilmu dan berjual beli. Suatu hari ketika
Rasulullah S.A.W bersama isteri-isteri baginda
(Ummu Salamah dan Maimunah), datang seorang sahabat yang buta (Ibnu Maktum).
Rasulullah S.A.W menyuruh kedua-dua isterinya masuk ke dalam rumah. Bertanya
Ummu Salamah: "Bukankah orang itu tidak dapat melihat kami ya Rasulullah
S.A.W?". Rasulullah S.A.W menjawab: "Bukankah kamu dapat melihatnya?."

8. Wanita yang keluar rumah dengan memakai bau-bauan berjalan di hadapan orang
sehingga terhidu baunya, ia adalah berzina yakni seperti perempuan zina.

9. Tidak memuliakan wanita melainkan orang yang mulia dan tidak menghina mereka
melainkan yang hina.


10. Dunia adalah perhiasan, sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah.

11. Wanita itu boleh dikahwini dengan sebab hartanya, kecantikannya, keturunannya dan agamanya. Hendaklah kamu mendapatkan yang kuat agamanya, tentu ia akan memberi ketenangan kepada kamu.

12. Salah satu tanda keberkatan wanita ialah cepat perkahwinannya dan cepat
pula kehamilannya dan ringan maharnya (mas kahwin).

13. Wanita yang taatkan suaminya, semua burung-burung di udara, ikan di air,
malaikat di langit, matahari dan bulan semuanya beristighfar baginya selama
mana ia masih taatkan suaminya dan diredhai (serta dipelihara akan sembahyang
dan puasanya).

14. Wanita yang taat berkhidmat pada suaminya akan tertutup 7 pintu neraka dan
akan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang disukainya
dengan tidak dihisab.

15. Mana-mana wanita yang bermasam muka menyebabkan rasa tersinggung hati
suaminya, maka ia dimurkai Allah sehingga ia kembali bermanis muka dan
tersenyum mesra terhadap suaminya.

16. Ibnu Umar berkata: Telah datang seorang kepada Rasulullah S.A.W lalu
bertanya: "Apakah hak suami atas isteri?" Jawab baginda: "Tunaikan hajatnya
sekalipun engkau di belakang unta, jangan berpuasa sunat melainkan dengan izin
suami, jika engkau berpuasa juga maka pahalanya untuk suami dan dosa untuk
isteri, jangan keluar melainkan dengan izinnya: jika keluar juga akan dilaknat
oleh Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab sehingga kembali kembali engkau ke
rumah."




PUTERIKU SAYANG


Lembutmu tak bererti kau mudah dijual beli
Kau mampu menyaingi lelaki dalam berbakti
Lembut bukan hiasan bukan jua kebanggaan
Tapi kau sayap kiri pada suami yang sejati

Disebalik bersih wajahmu disebalik tabir dirimu
Ada rahsia agung tersembunyi dalam diri
Itulah sekeping hati yang takut pada ilahi
Berpegang pada janji mengabdikan diri

Malumu mahkota yang tidak perlukan singgahsana
Tapi ia berkuasa menjaga diri dan nama
Tiada siapa yang akan boleh merampasnya
Melainkan kau sendiri yang pergi menyerah diri

Ketegasanmu umpama benteng negara dan agama
Dari dirobohkan dan jua dari dibinasakannya
Wahai puteriku sayang kau bunga terpelihara
Mahligai syurga itulah tempatnya

Apr 5, 2011

GodaanMu..

Aku tahu engkau mencintaiku,
Aku tahu kau akan sentiasa mengodaku,
Aku tahu kau sentiasa memerhati gerak langkahku,
TAPI,,
Apa yang dapat kuberi padamu,
Aku pasti tidak akan berpaling padamu,
Tidak akan kuberpaling walau sesaat,
Kerana cintaku ini sudah dimiliki,
Dimiliki oleh yang benar-benar mencintaiku,
Yang sentiasa mengasihiku,
Yang sentiasa menjagaku,
Yang tidak akan pernah mengecewakanku,
Hanya satu,
Yakni Dialah, Allah Yang Maha Satu.

JADI??? Mohon maaf dariku,
WAHAI SYAITAN!! h0h0..


Hasil Nukilan,


Siti Nuramirah bt Sheikh Zainal Abidin
&
Balqis Binti Baharudin

Apr 3, 2011

Santapan Rohani




Emm.. Ni buku yang menjadi santapan rohani ana dalam masa 2 Hari cuti..huk3..

Apapun nak ucapkan terima kasih kepada Nurul Nafisah.. sebab bagi pinjam jugak buku

ni dekat ana.. Banyak yang ana pelajari dalam buku nie.. Meskipun hanya

menceritakan tentang sukan, tapi dakwah yang ditunjukkan dapat memberi sedikit

sebanyak kesan dalam diri ana.. Seolah2 ana teringin menjadi

matahari yang sentiasa memberi sinaran tanpa jemu.. Dan hanya malap apabila tiba

masanya..
Terima kasih yang tidak terhingga..

Apr 2, 2011

Kecewa Dengan Keputusan Peperiksaan

Motivasi :Kecewa Dengan Keputusan Peperiksaan
Karya :Hilal Asyraf

Jangan kecewa, adik. Senyumlah. Pandang betul-betul. ^^ ~

Pasca keputusan SPM keluar, terdapat segelintir remaja yang mencari saya di alam maya. Meminta nasihat bagaimana hendak mengawal perasaan kecewa mereka. Mereka telah mendapat keputusan yang orang ramai pandang sebagai tidak cemerlang. Ada pula sebahagian daripada mereka, keputusannya cemerlang, tetapi dia tidak berpuas hati kerana tidak mendapat straight A’s.

Kecewa teramat-amat.

Seakan-akan dunia telah tertutup, dan menjadi sempit buat mereka.

Malah, ada yang sampai bertanya, “Mengapa Allah buat begini kepada saya?”

Bertenang adik-adik, bertenang.

Pada pendapat saya, SPM bukan pengakhir kehidupan. Ya, bukan pengakhiran. Tetapi SPM hanyalah salah satu ‘checkpoint’ dalam kehidupan. Kita perlu memandang sedemikian.

Barulah hati itu akan tenang dengan keputusan yang diberikan oleh Tuhan.

SPM – ruang muhasabah

Pandang semula ke belakang.

Benarkah sudah studi dengan bersungguh-sungguh? Atau sebenarnya kita masih bermain-main dan agak sambil lewa?

Pandang semula ke belakang.

Apakah kita ini benar-benar menjaga hati guru yang mengajar kita? Atau kita pernah mengecewakannya, tidak beradab dengannya dan sebagainya?

Pandang semula ke belakang.

Apakah kita ini telah berusaha menjaga hati sahabat-sahabat kita, dan orang lain? Atau kita pernah melukakan mereka, menganiayai mereka, berkata buruk kepada mereka, dan sebagainya?

Pandang semula ke belakang.

Bagaimanakah hubungan kita terhadap ibu bapa kita, adik beradik kita, saudara mara kita? Mungkin pernah kita buat sesuatu yang buruk buat mereka?

Pandang semula ke belakang.

Bagaimanakah hubungan kita dengan Allah SWT dan agamaNya? Apakah kita melaksanakan perintahNya? Adakah kita meninggalkan laranganNya? Atau kita tidak peduli dengan itu semua?

Ya. Pandang semua ini. Pandang.

Kemungkinan, keputusan yang buruk, yang mengecewakan, yang tidak mencapai sasaran kita itu, kita perolehi kerana sikap kita yang lalu, yang belum kita usaha untuk diampunkan.

Bukan salah Allah SWT sebenarnya. Salah kita.

“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” Surah Asy-Syuura ayat 30.

SPM tidak lebih hanyalah teguran Allah SWT buat kita. Tidakkah kita memerhatikan?

SPM – hentakan yang kuat.

Manusia ini, biasanya payah untuk beringat. Maka, biasanya Allah SWT akan memberikan beberapa ‘hentakan yang kuat’ dalam kehidupan agar kita terjaga dari lena. Ada orang dengan kematian kedua ibu bapanya, ada orang dengan kehilangan hartanya, ada orang dengan terjadinya bala benca dan sebagainya, yang mana semua itu mengaitkan dengan kehilangan sesuatu yang ‘besar’ dalam kehidupannya.

Untuk remaja, antara yang besar adalah SPMnya. Peperiksaannya.

Allah SWT memberikan hentakan ini, untuk kita tersedar kala usia masih muda, tenaga masih ada. Untuk bergerak menjadi mukmin yang lebih baik, lebih soleh. Tidakkah kita memerhatikan?

SPM – Bukan pengakhiran kehidupan

Jangan kecewa. Jangan salahkan Tuhan. Sesungguhnya setiap yang berlaku ada hikmahnya. Tinggal, sesiapa yang tidak memandang hikmahNya, dia akan rugi selama-lama.

Ada orang, kecewa dengan keputusan SPM, terus malas belajar. Dia rugi.

Ada orang, kecewa dengan keputusan SPM, kelar tangan, bunuh diri. Dia rugi.

Itu orang yang tidak mahu memandang hikmah Allah SWT.

Tetapi bagi mereka yang memandang hikmah Allah SWT, maka teguran daripada keputusan yang tak berapa elok ini, akan dilihat dan diambil secara positif. Dia ubah dirinya, menjadi lebih berdisiplin. Dia tingkatkan dirinya, agar menjadi lebih soleh. Dia perbaiki dirinya, agar menjadi yang lebih kuat hubungannya dengan Allah SWT.

Terus bertranformasi menjadi seorang manusia yang baru.

Lantas, kehidupannya selepas SPM itu, akan diharungi dengan kekuatan dan semangat yang baru.

SPM bukan pengakhiran kehidupan. Ada 1001 lagi jalan untuk berjaya, tanpa menggunakan SPM. Tinggal, SPM adalah pemudah cara. Namun, tidak berjaya di dalamnya, bukan bermakna kita tidak akan berjaya di dalam kehidupan kita. Apatah lagi apabila kita sudah menjalani transformasi diri, insyaAllah kehidupan SPM itu akan menjadi lebih bermakna lagi, dan mudah dihadapi.

Ada orang yang tidak cemerlang SPM, berubah, lantas di dalam kepalanya muncul idea bisnes persendirian. Berjaya. Dia tidak rugi dalam kehidupannya.

Ada orang yang tidak mencapai sasarannya di dalam SPM, tidak dapat mengambil kos idaman, berubah, lantas di dalam kos yang terpaksa diambilnya, dia lakukan yang terbaik. Berjaya. Dia tidak rugi dalam kehidupannya.

Ada orang yang gagal dalam SPM, tidak dapat menyambung pengajian, berubah, dengan yakin tanpa segan, mengambil semula SPMnya. Berjaya. Dia tidak rugi dalam kehidupannya.

Mereka ini, adalah manusia-manusia yang memahami, bahawa kehidupan itu lebih besar daripada sebuah SPM.

Tidakkah anda memerhatikan?

Penutup: Jangan kecewa. Allah bukan tidak sayang kita. Bahkan, sayang.

Jangan tanam dalam diri, kalau dapat keputusan yang mengecewakan, itu tandanya Allah tidak sayang dengan kita. Tidak.

Bahkan, keputusan yang mengecewakan itulah tandanya Allah masih sayang kepada kita.

Kita yang banyak dosa, tidak dibiarkan cemerlang begitu sahaja, agar kita mampu memperbaiki diri kita. Kalau tidak diberikan ‘hentakan yang kuat’ ini, mungkin jadilah kita hambaNya yang ingkar sentiasa, tanpa punya peluang tersedar dari alpa. Tidakkah kita memerhatikan?

Dan mungkin juga, kita ini tak banyak dosa, tetapi keputusan tetap mengecewakan. Itulah dia ujian. Ujian adalah untuk peningkatan, tapisan. Allah ingin kita meningkat satu level lagi dalam hubungan kita dengan Dia. Bukankah itu satu perkara yang amat menyenangkan?

Tidakkah kita memerhatikan?

Maka jangan kecewa.

Pandang secara rasional.

Kehidupan belum berakhir.

Kita pandang semula. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita.


p/s : Belilah buku-buku karya hilal asyraf.Sangat bagus untuk dimiliki bagi setiap lapisan. Terutama kepada remaja2.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...